Monday, August 3, 2009

HARGAI ZAMAN MUDA ANDA

MENGHARGAI ZAMAN MUDAMU

Bismillahirrahmanirrahim wal hamdulillah syukur di atas segala nikmat yang banyaknya tidak terkira. Andai kata kamu mahu menghitung nikmat Allah, nescaya tidak terhitung banyaknya. Di samping itu marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, di samping kita mempertingkatkan usaha dalam mendidik anak-anak dan ahli keluarga agar menyempurnakan kewajipan masing-masing. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah s.w.t. di dunia dan di akhirat.

Menghargai zaman muda bererti menghargai masa. Sebagai mana firman Allah s.w.t. yang bermaksud (1) Demi Masa! (2) Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian. (3) Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar. (Surah al-Asr: Ayat 1 – 3). Berdasarkan ayat-ayat daripada surah al-’Asr ini Allah s.w.t. telah mengingatkan kita tentang keberuntungan, bagi sesiapa yang menjaga masanya dan memanfaatkan masa hidupnya dengan perkara-perkara yang memberi mashlahah kepada seluruh umat manusia sekitarnya. Saya teringat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhari yang bermaksud ”Jika engkau berada pada waktu petang, maka janganlah engkau menunggu waktu pagi, dan apabila engkau berada pada waktu pagi, janganlah engkau menunggu waktu petang, dan gunakanlah masa sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau”. (al-Hadith). Kata orang masa itu ibarat pedang, ada pula yang mengibaratkan seperti emas. Walau apa pun andaian yang di buat oleh segelintir kita yang penting pengurusan masa itu mestilah berkesan tanpa mensia-siakannya begiti saja (tidak membiarkannya berlalu dengan kosong). Ingat jangan tangguh kerja, kelak dia memancung kita, jangan biarkan dia (Masa) berlalu, nanti kita sesal tidak sudah-sudah.

KEWAJIPAN MASA MUDA BELIA

Setiap negara pasti mengharapkan untuk mempunyai rakyat yang mampu menyumbang ke arah kemajuan, kejayaan dan keamanan. Semua itu hanya dapat dicapai dan diperolehi jika rakyat negara itu mempunyai sahsiah dan jati diri yang unggul serta cemerlang, sama ada melalui generasi muda belia atau pun generasi tua.

Kementerian Belia dan Sukan mentakrifkan belia sebagai golongan muda yang berumur antara 15 hingga 25 tahun, dan ia selaras dengan takrif yang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Manakala Islam pula mentakrifkan belia sebagai satu fasa umur alam baligh yang menerima tanggungjawab (taklif) atas setiap perbuatan yang dilakukan. Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah golongan belia di negara ini pada tahun 2008 mencecah seramai 16 juta orang. Angka ini memberi gambaran bahwa negara akan menghadapi cabaran hebat dalam aspek pembinaan dan pengurusan belia di masa hadapan.

Belia adalah harta yang amat berharga serta tonggak dan kekuatan masa depan negara. Mereka juga adalah pewaris kepimpinan negara dan kesinambungan umat di masa hadapan. Justeru itu adalah perlu golongan belia ini diasuh, dididik dan dibimbing ke jalan yang benar dan diredhai Allah s.w.t. sehingga mampu menjadi generasi yang boleh diharapkan dan dibanggakan iaitu belia yang beriman, berilmu, beramal dan berakhlak mulia. Inilah yang menjadi cita-cita negara kita untuk mempunyai belia yang berkualiti dari aspek iman, tindak tanduk (akhlak), tutur kata dan sebagainya.

CABARAN MASA MUDA BELIA

Persoalan besar timbul ialah ke manakah hilangnya wawasan belia hari ini? Saban hari kita masih mendengar berita-berita yang tidak baik tentang segelintir belia, dan hanya beberapa cebis kisah kejayaan dan kecemerlangan yang telah diraih oleh mereka. Kes-kes salah laku jenayah sivil, jenayah syariah, masalah disiplin dan adab sering dikaitkan dengan belia. Hal ini tentunya mengundang rasa rungsing dan gusar di kalangan ibu bapa, masyarakat dan pemimpin negara. Justeru Rasulullah s.a.w. berpesan kepada semua golongan belia agar dapat memanfaatkan umur dan masa muda dengan sebaik-baiknya.

Imam Hakim telah meriwayatkan bahawa Ibnu Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, mafhumnya: “ Rebutlah lima perkara sebelum kamu di datangi oleh lima perkara lain. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum mati.”

Berdasarkan hadith tadi, jelas bahawa belia yang cemerlang adalah mereka yang memanfaatkan masa dengan betul seperti dengan usaha menuntut ilmu, berbuat kebaikan dan paling penting memantapkan diri dengan iman dan taqwa. Dengan iman dan taqwa, jati diri belia dapat dipertingkatkan dan menjadi mantap. Mereka tidak mudah goyah dan goncang oleh pengaruh anasir-anasir dan gejala-gejala yang merosakkan jiwa, minda, akidah dan akhlak seperti penyalahgunaan dadah, alkohol, zina, lumba haram, ajaran sesat, dan sebagainya.

FAKTOR PEMUSNAH MASA MUDA

Antara faktor yang dikenalpasti sebagai punca berlaku penyelewengan akidah dan berkembangnya gejala sosial adalah kurang didikan dan penghayatan agama di kalangan belia akibat pengaruh persekitaran. Apa yang penting, belia hendaklah mengisi diri dengan ilmu agama dan pelbagai ilmu serta kemahiran hidup di samping berusaha menjadikan diri sebagai hamba yang soleh, generasi yang berkualiti, umat yang cemerlang berlandaskan ajaran Islam yang sebenar.

Islam telah menggariskan peranan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sebagai seorang belia muslim yang bersifat teguh iman, taat perintah Allah dan Rasul, mengasihi dan menjejaki sunnah Rasul-Nya dalam setiap cara hidup, baik urusan dunia mahupun akhirat.

Selain itu, para belia juga adalah bertanggungjawab mentaati Raja dengan mematuhi titah perintahnya selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Paling penting juga, kepatuhan dan ketaatan belia kepada kedua-dua ibu dan bapa.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Israa’ ayat 23 yang bermaksud Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Dalam hal ini kita juga dituntut untuk berbakti, mengasihi, menghormati serta sentiasa menyenangkan hati kedua ibu bapa dengan memelihara tingkah laku dan tutur kata yang lemah lembut serta bersopan. Sentiasalah berdoa untuk kesejahteraan ibu bapa walaupun setelah mereka meninggal dunia.

Pada masa sama, belia juga berperanan menegakkan syiar agama Islam dengan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kerana amalan tersebut boleh menjadi benteng untuk menangkis segala gejala buruk dari merosakkan jiwa dan meracun minda yang akibatnya boleh merosakkan belia dan masa depan negara.

KESIMPULAN DAN CADANGAN PENULIS

ZAMAN MUDA hanya sekali yakni sesudah mencapai usia emas, mustahil bagi kita untuk memutarkan dan mengembalikan semula saat-saat muda tersebut. Harus kita ingat perjalan hidup ini mesti terlalu banyak liku-likunya. jika berjaya mengharungi di usia muda ini (tidak menjerumuskan diri ke lembah maksiat dan dosa) nescaya mudahlah untuk kita menempuh hari tua kita. Kepada para belia di luar sana, marilah kita memaut pada tali Ilahi, jangan sekali-kali kita berpecahan. kerana perpecahan itu mampu menghancurkan kita semua. Saya mengibaratkan kita semua berada dalam sebuah kapal yang indah, kita sama-sama berlayar menuju satu destinasi. Dalam pelayaran yang jauh itu tiba-tiba salah seorang daripada kita cuba menebuk lantai kapal yang kita bersama naiki. Kalau salah seorang pun di kalangan kita hanya melihat dan ketawa, apa akan jadi dengan kapal kita ini? Jawapannya adalah tenggelam. Adakah kapal sahaja yang tenggelam? Jawapannya adalah tidak, yang tenggelamnya adalah kapal dan kita semua. Apa yang saya ingin gambarkan di sini ialah amalan “menyuruh dan bertolongan dengan kebaikan, serta mencegah dengan kemungkaran” patut menjadi amalan setiap orang daripada kita.